ARENA sukan tanah air yang semakin hilang sinarnya tidak boleh dipandang remeh ketika dunia dan negara serantau mengorak langkah dengan mencatatkan sejarah mereka tersendiri. Justeru, pihak yang diberikan tanggungjawab seperti badan sukan dan kementerian perlu lebih serius dan komited dalam menggilap permata baru dunia sukan negara untuk masa depan. Tokoh akademik Tan Sri Profesor Emeritus Dr Khoo Kay Kim, berkata mereka yang diberikan mandat untuk memartabatkan sukan negara perlu membuang sikap ‘bodoh sombong’, sebaliknya membuka minda bagi menerima nasihat di kalangan mereka yang lebih berpengalaman. Beliau berkata, masalah itu sudah lama dibangkitkan, namun tidak ada sebarang perubahan apabila kementerian masih degil untuk mendengar tunjuk ajar golongan yang lebih mengetahui sejarah serta selok-belok dunia sukan Malaysia. Katanya, sukan negara mula menyerlahkan kemunduran apabila golongan yang tidak mempunyai pengetahuan meluas dalam bidang itu diberikan tanggungjawab memikulnya. “Kita pernah digelar jaguh dunia, Malaysia gah dengan sukannya satu ketika dulu. Malah, Korea Selatan pernah menerima bimbingan kita dalam taktik bola sepak. Kini, mereka pula yang sudah mara ke Piala Dunia di mana kita sebagai ‘tok guru’ kepada mereka masih gagal menjejakkan kaki ke temasya peringkat dunia itu. “Jangankan bola sepak, kita yang pernah merangkul gelaran Piala Thomas dulu kini kecundang di tangan Jepun. Bagaimana, kita yang pernah berada di tahap tertinggi boleh jatuh mendadak? Justeru, saya meminta pihak bertanggungjawab segera ambil tindakan,” katanya. Dr Khoo berkata, Malaysia memiliki kelebihan menerusi pengalaman yang cukup untuk memajukan sukan tanah air. Sebaliknya, beliau berkata, amalan mencuba kaedah baru dan tidak teruji kejayaannya diguna pakai, hingga akhirnya ia memakan diri. “Manfaatkan pengalaman sedia ada dan yang lebih penting, adalah sila dengar nasihat orang lama,” katanya. Menurutnya lagi, masyarakat hari ini masih gemarkan sukan tetapi tidak suka pada kumpulan yang kalah; mengakibatkan mereka cenderung beralih ke arena sukan negara luar. “Ia terbukti pada Piala Dunia baru-baru ini. Begitu ramai lelaki, wanita dan kanak-kanak membanjiri kedai kopi menyaksikan perlawanan itu. Malah, jika disebut Rafael Nadal, Serena Williams atau Lionel Messi, mereka pasti tahu tapi jika ditanya jaguh tempatan, pasti terdiam,” katanya.
* Aku setuju sangat2..
2 comments:
setuju setuju setuju!! kalo tgk footballer malaysia main,bikin naik darah je,walopon yg tgk ni buta bola.kih kih kih!
Anis - Agak2 ape sebab pemain malaysia xleh nak g jauh.Klu nengok pd kemudahan sumenye bertaraf dunie.Iran/Iraq yg tgh berperang pun ranking dunia jauh lg bagus,malu betul.hehe....
Post a Comment